PETALING JAYA : Kerajaan bersetuju supaya beberapa cadangan pembaharuan berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) akan datang.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan pembaharuan itu antaranya mengenai hala tuju berhubung penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Katanya, kesemua cadangan pembaharuan tersebut akan dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri selepas sahaja dibentangkan dahulu ke mesyuarat jawatankuasa khas disebutkan.
“Saya juga bersetuju supaya status terkini berkenaan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan cadangan pembangunan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu hadir setelah Wan Junaidi bertemu dengan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd. Sallehuddin Hassan, pegawai-pegawainya dan Biro Pengaduan Awam (BPA).
Selain itu, dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan status terkini RUU Ombudsman yang dicadang dibentangkan kepada kerajaan tahun ini.
“Saya telah menyarankan supaya penelitian diberikan kepada aspek dasar penubuhan Ombudsman tersebut bagi memastikan keberkesanan undang-undang berkaitan Ombudsman kelak.
“Saya turut menyarankan supaya hebahan berhubung usaha membanteras rasuah terus dipertingkat oleh agensi kerajaan bagi membentuk persepsi positif terhadap keseriusan kerajaan kerajaan dalam membendung rasiah, sekaligus berupaya meningkatkan prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) akan datang,” katanya.
-Utusan Online