KATHMANDU: Semua 22 mayat termasuk 19 penumpang dan tiga anak kapal pesawat milik Tara Air yang terhempas di lereng banjaran Himalaya dua hari lalu, ditemukan hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Mangsa adalah dua warga Jerman, empat India dan 16 warga Nepal menaiki pesawat De Havilland Kanada DHC-6-300 Twin Otter yang terhempas 15 minit selepas berlepas dari Pokhara, terletak 125 kilometer (km) dari barat Kathmandu pagi kelmarin.
Pesawat itu dijadual menuju ke Jomsom, sebuah kawasan pelancongan popular terletak 80 km di barat laut Pokhara dengan penerbangan sepatutnya mengambil masa 20 minit.
“Penyelamat menemui semua 22 mayat di lokasi kejadian,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Nepal (CAAN), Deo Chandra Lal Karna kepada Reuters.
Tentera Nepal dan anggota penyelamat berjaya mengeluarkan 21 mayat daripada serpihan badan pesawat yang berselerak di kawasan cerun pada ketinggian sekitar 14,500 kaki semalam.
Lal Karna berkata, mayat terakhir berjaya ditemui pagi tadi.
Mayat 10 mangsa dibawa ke Kathmandu semalam dan baki 12 mayat akan diterbangkan ke ibu negara hari ini, kata pegawai CAAN.
“Mayat akan dibawa ke (Universiti Tribhuvan) Hospital Pengajar untuk bedah siasat dan akan kemudian akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengecaman identiti,” kata Lal Karna.
Industri pengangkutan udara Nepal berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bagi perkhidmatan membawa barangan dan orang ramai antara kawasan yang sukar dicapai serta pengembara dan pendaki asing.
Bagaimanapun, ia sudah lama dibelenggu keselamatan yang lemah kerana latihan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi.
Kesatuan Eropah (EU) juga melarang semua syarikat penerbangan Nepal dari ruang udaranya atas kebimbangan keselamatan.
Negara Himalaya itu juga mempunyai beberapa landasan terpencil dan rumit di dunia, berada di antara puncak gunung yang dilitupi salji dikatakan memberikan cabaran kepada juruterbang selain cuaca boleh berubah dengan cepat di kawasan pergunungan, sekali gus mewujudkan keadaan penerbangan berbahaya.
-Utusan Online