PUTRAJAYA: Mesyuarat Lembaga Eksekutif Ke-151 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju melantik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai Naib Pengerusinya.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Berita gembira itu dimaklumkan sendiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dimuat naik dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.
“Alhamdulillah dan tahniah kepada YB Menteri Kesihatan atas pelantikan itu dan Malaysia kini berkhidmat sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO dari 2021 sehingga 2024,” jelasnya.
Jelas beliau, mesyuarat itu sebulat suara bersetuju dengan pelantikan tersebut bagi mewakili rantau Pasifik Barat selain empat wakil dari China, Micronesia, Jepun dan Korea Selatan.
Lembaga itu terdiri 34 ahli bermesyuarat setiap Januari untuk agenda Perhimpunan Kesihatan Sedunia dan mempertimbangkan segala resolusi di ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland.
Pelantikan tersebut jelasnya, tidak pernah terjadi lagi sebelum ini dan satu penghormatan besar buat Malaysia dan bukti negara ini sentiasa terdepan dalam bidang kesihatan awam global.
“Selain kepimpinan kita yang kuat, Malaysia akan menyumbang ke arah kejayaan usaha WHO menerajui komuniti antarabangsa meliputi pelbagai cabaran sejagat. Usaha itu termasuk tindak balas wabak Covid-19, inovasi kesihatan digital, penuaan aktif, isu kesihatan mental, permasalahan penyakit tidak berjangkit dan perubahan iklim.
“Malaysia bercita-cita menjuarai pelbagai isu besar dan biasa dialami komuniti serantau dan global dengan menjadi suara mereka dalam perhimpunan tahunan WHO itu. Selain itu, Lembaga Eksekutif akan bermesyuarat kali kedua yang lebih pendek setiap Mei sehingga Jun bagi melaksanakan segala keputusan perhimpunan dan menasihatkan WHO.
“Kita akan menangani isu semasa, ketidakadilan agihan vaksin, sistem kesihatan sosial dan kesediaan fasiliti awam global berkaitan bagi tindak balas bersama,” tegas Noor Hisham.
Pada 24 Mei lalu, Khary, 46, melakar sejarah apabila dipilih sebagai antara lima Naib Presiden dalam perhimpunan tersebut mewakili rantau Pasifik Barat yang mengandungi 37 negara.
UtusanOnline-