COLOMBO: Penunjuk perasaan yang kali ini terdiri daripada golongan pelajar cuba sekali lagi menyerbu kediaman Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, memaksa pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Protes terbaharu itu dilakukan selepas kerajaan menawarkan jaminan untuk memperbaiki situasi semasa, terutamanya masalah yang dihadapi rakyat.
Majoriti rakyat Sri Lanka sehingga kini terus mendesak Gotabaya melepaskan jawatan dan baru-baru ini, adiknya, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri.
Pasukan antirusuhan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata bagi menghalang penunjuk perasaan mengalihkan besi penghadang untuk menyekat pergerakan mereka ke kediaman Rajapaksa.
Dalam pada itu, di kawasan berhampiran, ribuan rakyat terus mengadakan tunjuk perasaan aman yang memasuki hari ke-51 secara berturut-turut di luar pejabat presiden.
Perdana menteri baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, semalam menawarkan golongan belia di negara ini peluang untuk lebih banyak bersuara dan menyatakan pandangan mereka mengenai pentadbiran negara.
Bagi mencapai tujuan itu, beliau bercadang menubuhkan 15 jawatankuasa bagi kerjasama dengan Parlimen untuk menetapkan dasar negara.
Katanya, empat wakil belia akan dilantik bagi setiap satu daripada 15 jawatankuasa tersebut.
Selain itu, Wickremesinghe turut memaklumkan kuasa presiden akan dikurangkan dan kuasa Parlimen dikukuhkan di bawah cadangan reformasi Perlembagaan Sri Lanka.
UtusanOnline-