Kuching : Dua remaja lelaki yang sesat di Gunung Santubong, dekat sini, sejak petang semalam ditemukan selamat, pagi hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Gibriel Brodie dan Christian Xavier masing-masing berusia 19 tahun, berjaya dikesan selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mendengar laungan mereka.
Menurutnya, sebaik mendengar laungan mangsa, pasukan SAR keluar dari laluan denai untuk mengesan lokasi mereka.
“Selepas berbalas laungan, kedudukan kedua-dua mangsa berjaya dikesan dan mereka ditemukan selamat pada 11.25 pagi.
“Keadaan mereka baik cuma lapar dan dahaga selain kepenatan selepas semalaman sesat di hutan,” katanya.
Menurutnya, sebaik dibawa turun ke kaki gunung, mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.
Operasi SAR bagi mengesan kedua-dua mangsa bermula petang semalam selepas bomba menerima maklumat berhubung kehilangan mereka pada jam 6.42 petang.
Bagaimanapun, operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada 1.22 pagi berikutan jarak penglihatan yang rendah dan trek hutan yang curam.
Dua remaja sesat selepas mereka dipercayai keluar dari trek hutan yang bertanda merah yang dipasang sebagai panduan untuk pendaki.
-Harian Metro