KUALA LUMPUR : Malaysia hanya bergantung sebanyak 18 peratus bekalan daging import dari loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia, yang didakwa berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pihaknya masih meneruskan usaha mendapatkan bukti bagi menyelesaikan dakwaan kes terbabit, berikutan tidak mahu berkompromi berhubung aspek halal dan haram.
“Ada 16 loji di sana dengan 15 daripadanya beroperasi…syarikat yang disebut itu lebih kurang 18 peratus menjadi pengeksport ke tempat kita.
“Kalau mengikut apa yang didedahkan kata banyak lebih dari itu tapi mengikut fakta diberikan pegawai atase kita di sana adalah 18 peratus,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu Idris merasmikan Kongres Nasional ‘Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan.
Sebelum ini media melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) dan Sahabat 99 mendakwa perlanggaran SOP penyembelihan halal oleh TFI yang mendapat kelulusan dari Badan Induk Halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).
Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor, dilaporkan berkata pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia membabitkan bukti video dan gambar serta keterangan saksi yang juga pekerja sembelihan di TFI, membuatkan pertubuhan itu yakin ada unsur yang jelas melanggar protokol penyembelihan.
Susulan dakwaan yang timbul, setakat ini JAKIM sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperoleh.
Pada masa sama, ketika ditanya mengenai bekalan daripada loji terbabit yang sudah terlepas ke dalam pasaran negara ini, Idris berkata, pihaknya tidak boleh memberikan jaminan dalam aspek tindakan.
“Berkenaan daging sudah sampai, tidak boleh memberikan jaminan yang kita ambil tindakan itu, setakat ini kita gantung kelulusan loji terbabit,” katanya.
Idris berkata, JAKIM masih berusaha menjejaki pemberi maklumat yang dikenali sebagai ‘The Hood Man’ (Abdullah) melalui PPIM yang kini masih belum dapat dikesan.
Katanya, pihaknya meminta supaya pemberi maklumat memberikan kerjasama untuk JAKIM mendapatkan maklumat sahih secara terus dan bukannya melalui pihak kedua.
“Kalau ikut maklumat ada pegawai dapat menghubungi beliau dan dikatakan akan menghubungi kita semula tetapi sampai sekarang tidak hubungi semula.
“Kalau ikutkan maklumat pemberi maklumat itu adalah orang Somalia kerana yang penting kita nak informasi yang lengkap,” katanya.
-Berita Harian