KUALA LUMPUR: Malaysia membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa daripada Kejohanan Petanque Dunia yang berlangsung di Karslunde, Denmark pada 12 hingga 15 Mei lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Gandingan Nur Ain Syuhada Mohd Asri dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz mencipta sejarah apabila merangkul pingat perak buat kali pertama dalam sejarah sukan petanque negara meskipun tewas 2-13 di tangan Sepanyol pada aksi final.
Nur Ain Syuhada turut menggondol pingat gangsa perseorangan wanita dan ini juga kali pertama Malaysia meraih pingat dalam kategori itu pada kejohanan dunia sejak penyertaan bermula 2009.
Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Mohd Hisham Mohd Nor mengharapkan pencapaian itu dapat membakar semangat atlet mereka untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini.
“MBSF mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pengurus pasukan, jurulatih dan semua atlet pasukan Malaysia di atas prestasi cemerlang yang dipamerkan.
“Semoga kesungguhan dan prestasi ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan dalam kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagai rekod, MBSF menghantar empat wakil untuk mewakili Malaysia pada temasya yang disertai oleh 49 negara itu. Antaranya Perancis, Thailand, Itali, Kemboja, Switzerland, dan Sepanyol.
Selain Nur Ain Syuhada dan Nur Thahira, mereka turut menghantar Muhammad Helmi Mat Daud dan Amirol Mukminin Mohd Dali bagi menyertai kategori perseorangan, beregu dan beregu campuran.
BHonline-