KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Malaysia) meminta kerajaan untuk menyemak semula harga gula dalam keadaan isu tekanan kos yang berterusan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, tiada garis masa dalam hal itu dan menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskannya.
Bagaimanapun, beliau berkata, semakan semula itu perlu dilakukan sewajarnya.
“Jaminan kami adalah untuk negara dan rakyat, namun pada masa yang sama, kami juga perlu menjalankan operasi yang meraih keuntungan.
“Kami sedang dalam perundingan dengan kerajaan agar mereka memahami tekanan kos kami, (daripada) penghantaran barangan muatan, tenaga gas dan pergerakan pertukaran asing,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya MSM Malaysia, pada Jumaat.
Beliau menambah, kilang penapisan gula akan terus beroperasi untuk keselamatan makanan di negara ini.
Syed Feizal berkata, impak kenaikan harga gula dijangka tidak memberi kesan yang ketara kepada isi rumah.
Harga gula bertapis telah dinaikkan sebanyak 11 sen pada 2017, manakala pengurangan harga 10 sen bagi setiap sekilogram diumumkan pada 2018 dan menyebabkan kenaikan satu sen pada 2011.
Ketika ini, harga runcit gula putih kasar adalah RM2.85 sekilogram.
-Sinar Harian