Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa cuma beberapa pemimpin UMNO sahaja tidak mahu meneruskan Muafakat Nasional (MN).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Kata beliau, ramai mahu penyatuan Melayu menerusi MN, tetapi hanya segelintir pemimpin UMNO seperti Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mahukannya.
Kenyataan ini sangat tidak benar. Ramai orang Melayu termasuk pemimpin UMNO dan Ahmad Zahid mahukan MN, tetapi sama sekali bukan MN@PN (Perikatan Nasional).
Perkara ini telah pun diterangkan banyak kali oleh UMNO, tetapi Sanusi sama ada kurang faham atau buat-buat tidak faham dan mengulangi naratif serupa.
MN yang direncanakan oleh PAS adalah MN@PN iaitu MN yang diletakkan dibawah PN, maka tentunya ditolak oleh UMNO kerana PN diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Mengapa UMNO bersikap demikian terhadap PPBM bukan sesuatu yang sukar difahami. Ia rasional, logik dan amat berpatutan berdasarkan salasilah penubuhan PPBM.
Begitu juga akar umbi UMNO tentunya tidak mahu bekerjasama dengan PN yang dianggap sebagai pengkhianat, pembelot dan musuh dalam selimut.
Apa yang majoriti orang Melayu terutama akar umbi UMNO dan PAS mahukan adalah perpaduan asal MN seperti yang dimeterai di PWTC sesudah Pilihan Raya Umum Ke-14.
Sanusi juga tidak berkata jujur apabila mendakwa cuma beberapa pemimpin UMNO sahaja tidak mahu meneruskan MN.
Jangan lupa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, UMNO menawarkan kerjasama dengan PAS, namun pemimpin PAS mempertahankan kerjasama PN.
Pemimpin PAS lebih memilih PN berbanding MN yang original bersama UMNO kerana entah mengapa begitu terpengaruh dengan PPBM.
Sehingga sanggup bersengkongkol dengan PPBM memaki hamun dan melemparkan pelbagai dakyah serta tohmahan terhadap UMNO dalam kempennya.
Justeru, Presiden UMNO menyatakan MN sudah nyawa-nyawa ikan adalah berdasarkan sikap dan pilihan PAS mengutamakan PN berbanding MN.
Sudah tiba masa untuk pemimpin PAS dan Sanusi muhasabah diri, melihat cermin sebelum melemparkan kesalahan terhadap pemimpin UMNO.
-Mynewshub