SEKINCHAN : Seorang pelajar lelaki cedera terkena renjatan elektrik di GiatMARA Sekinchan, di sini, ketika kawasan itu dinaiki banjir kilat hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Mangsa yang berusia 19 tahun dikatakan tidak sedarkan diri selepas memegang corong peniup di kawasan yang dilanda banjir itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 2.08 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik selepas memegang corong peniup terbabit.
“Semasa kejadian, kawasan GiatMARA Sekinchan dinaiki air setinggi 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Norazam, mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan lanjut.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan menyeluruh dan meminta pihak pengurusan premis menutup semua bekalan elektrik.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan kembali terkawal, dengan operasi tamat sepenuhnya jam 2.45 petang,” katanya.
-Berita Harian