JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) secara rasmi menarik balik larangan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah yang akan berkuat kuasa esok, lapor laman berita Merdeka.com.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Sehubungan itu, pertubuhan peladang kelapa sawit Indonesia turut menyambut baik dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada Jokowi berhubung keputusan berkenaan.
Penghargaan itu ditujukan oleh Kesatuan Peladang Kelapa Sawit (SPKS), Apkasindo Perjuangan, Forum Petani Kelapa Sawit Lestari Indonesia (FORTASBI), Persatuan Pekebun Kecil Perkebunan Kelapa Sawit (ASPEKPIR), Persatuan Forum Petani Kelapa Sawit Indonesia (POPSI), Kesatuan Peladang Indonesia (SPI) serta Jaringan Petani Kelapa Sawit Lestari Indonesia (Japsbi).
“Kami amat menghargai dan berterima kasih kepada Presiden Joko Widodo yang secara rasmi menarik balik larangan eksport minyak sawit mentah yang akan berkuat kuasa pada 23 Mei ini,’’ demikian kenyataan tersebut.
Menurut Pengerusi Apkasindo, Alpian Arahman, keputusan itu mengambil kira kelestarian nasib 17 juta pekerja sawit selain membantu menormalkan sistem perdagangan minyak sawit Tandan Buah Segar (TBS) untuk petani kelapa sawit di seluruh Indonesia.
“Mereka mengalami masalah dari segi harga yang turun secara drastik di bawah purata 2,000 rupiah (60 sen) sekilogram dan sekatan ke atas pembelian TBS yang dibuat oleh beberapa syarikat di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi,’’ kata Alpian.
Sementara itu, Pengerusi Popsi, Pahala Sibuea turut menyokong idea Jokowi yang mahu merombak prosedur dan peraturan Badan Pengurusan Dana Perkebunan Sawit (BPDPKS).
“Kita juga melihat BPDPKS merupakan salah satu kunci kepada penambahbaikan urus tadbir kelapa sawit di Indonesia, contohnya pada masa akan datang BPDPKS mesti fokus kepada institusi sokongan petani kelapa sawit di seluruh Indonesia,” kata Pahala.
Pahala menjelaskan, setakat ini BPDPKS hanya digunakan untuk kepentingan konglomerat biodiesel.
Menurutnya, ia dapat dilihat daripada 137.283 trilion rupiah (RM41.06 bilion) dana BPDPKS dari 2015 hingga 2021 dengan majoriti sekitar 80.16 peratus daripada dana itu hanya untuk subsidi biodiesel milik konglomerat minyak sawit.
-Kosmo Online