AMPANG JAYA – Penduduk di kawasan Kemensah Height, Hulu Kelang di sini digemparkan dengan dakwaan kemunculan seekor harimau yang berlegar di kawasan terbabit pada awal pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, terdahulu, pihaknya telah mengesan satu hantaran tular di aplikasi WhatsApp berhubung kejadian tersebut.
“Menerusi hantaran tersebut, seorang pengawal keselamatan mendakwa telah menemui seekor harimau berdekatan sebatang tiang lampu di Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Height pada pukul 12.45 pagi.
“Susulan kejadian, polis telah menghubungi Jabatan Perhilitan Selangor untuk membantu mengesan harimau terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Selangor telah melancarkan operasi menjejak harimau terbabit namun tiada kesan berjaya ditemui susulan maklumat diberikan tidak lengkap.
“Usaha menjejaki haiwan liar terbabit masih diteruskan dan setakat ini, tiada sebarang laporan polis berhubung kejadian diterima serta tiada saksi tampil untuk memberikan keterangan.
“Pengawal keselamatan yang didakwa terlihat harimau ini dikatakan seorang warga asing dan merupakan pengawal sementara di kawasan kejiranan terbabit.
“Tiada maklumat lanjut diperolehi berkaitan pengawal terbabit dan sehingga kini masih belum dapat dikesan,” jelasnya.
Tambahnya, polis Ampang Jaya juga telah mengambil tindakan dengan mempertingkatkan rondaan sekitar tempat kejadian bagi menjamin keselamatan penduduk.
“Pihak Zoo Negara juga telah dimaklumkan dan mengesahkan tiada kes harimau terlepas dari Zoo berkenaan.
“Polis juga menyeru orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat agar tampil untuk memberikan kerjasama,” jelasnya.
-Kosmo Online