TAIPING – Polis menahan seorang penganggur dipercayai terlibat dalam insiden mengasari remaja yang merupakan orang kurang upaya (OKU) lembam dalam kejadian di Taman Tasik Taiping di sini pada Sabtu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Tangkapan suspek berusia 22 tahun itu dibuat susulan tular di laman sosial rakaman video seorang lelaki menampar hingga mangsa terduduk menangis ketakutan sambil memegang basikal.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 13 tahun itu sedang menunggang basikal sendirian di taman berkenaan sekitar jam 2 pagi.
Menurutnya, insiden itu berpunca apabila suspek ingin meminjam basikal milik mangsa.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bersama anggota Balai Polis Taiping telah menahan suspek sekitar jam 10.45 malam untuk membantu siasatan.
“Suspek direman selama tiga hari sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
-Sinar Harian