KUALA LUMPUR : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menyegerakan proses penilaian pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) kepada penternak yang mengemukakan permohonan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
MAFI dalam kenyataan berkata, penternak yang memenuhi syarat dan mendapat kelulusan pembayaran akan memperoleh tuntutan dalam tempoh dijanjikan.
Katanya, MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan semua pihak industri yang terbabit secara langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran bekalan.
“MAFI memandang serius terhadap isu yang mengancam sekuriti makanan negara dan sentiasa berusaha dengan pihak berkepentingan dalam menstabilkan kembali bekalan.
“Ini bagi menjamin bekalan ayam mencukupi untuk keperluan negara sepanjang masa,” katanya.
Sebelum ini terdapat laporan akhbar berhubung isu ‘kartel’ ayam yang bertindak memberhentikan operasi ladang, namun pemeriksaan dilakukan JPV terhadap pihak syarikat ladang ayam terbabit mendapati laporan itu kurang tepat.
MAFI menjelaskan, pihak syarikat ladang ayam terbabit memberikan jaminan bahawa ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan, khususnya ayam diproses sama ada dalam bentuk ayam bulat, ayam ‘super’, ayam ‘standard’ serta keratan ayam.
“Pemeriksaan dilakukan JPV juga mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan ada dalam kalangan ladang-ladang ayam menghadapi masalah kenaikan berat badan ayam yang terganggu akibat kualiti dedak makanan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca panas melampau hingga mengganggu pembesaran ayam di ladang terutama reban sistem terbuka,” katanya.
-Berita Harian