Bagan Serai : Polis dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat pemantauan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Kurau dan Kuala Gula, di sini, bagi mengesan saki-baki pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mungkin terlepas selepas bot dinaiki terkandas di beting pasir di perairan Kuala Kurau, semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, sehingga semalam, seramai 164 Pati Rohingya, Myanmar dan Bangladesh berjaya ditahan termasuk yang melarikan diri ke darat.
“Pagi ini kita meneruskan pemantauan bersama PGA di beberapa lokasi di sekitar Kuala Gula dan Kuala Kurau bagi mengesan kemungkinan masih ada saki-baki Pati yang mungkin terlepas.
“Kita tiada maklumat rasmi jumlah keseluruhan Pati yang berada di bot namun sehingga semalam, seramai 164 Pati ditangkap termasuk 12 lelaki Rohingya yang ditahan di sebuah ladang kelapa sawit milik syarikat swasta di Kuala Gula.
“Orang awam atau penduduk kampung berhampiran yang mungkin ada maklumat atau terlihat kelibat Pati diminta segera menghubungi polis,” katanya dihubungi media.
Semalam media melaporkan seramai 143 Pati berjaya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan Kuala Kurau.
Dalam kejadian itu, seramai 86 Pati ditahan ketika berada di bot manakala selebihnya ditahan ketika cuba melarikan diri dengan terjun dan berenang ke darat.
-Harian Metro