SHAH ALAM: Ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah di sekitar Lembah Klang dijangka berdepan dengan kenaikan harga tambang bermula minggu depan atau Julai.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Jangkaan sedemikian disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan yang dilihat meningkat mendadak antara 50 hingga 80 peratus pada tahun ini yang perlu dihadapi lebih 6,000 pengusaha bas sekolah.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, kenaikan tersebut belum diputuskan namun perkara itu dibincangkan dalam kalangan ahli dan pengguna.
Beliau berkata, selain kenaikan tambang biasa, pihaknya mempertimbang untuk mengenakan bayaran tambahan bagi penghantaran pelajar ke sekolah yang terlibat dengan kelas tuisyen, kokurikulum, latihan sukan dan lain-lain di luar waktu rasmi sekolah.
“Jumlah kenaikan tambang tersebut bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara pengusaha dengan pelanggan. Pengusaha terpaksa mengkaji dan menaikkan tambang kerana pihak kami sudah tiada pilihan untuk menampung kos penyelenggaraan bas.
“PBSSPKL ada mengemukakan cadangan dan menghantar memorandum kepada kerajaan supaya menanggung separuh tambang bas sekolah dan separuh lagi ditanggung ibu bapa. Dengan cara ini kita dapat mengawal kenaikan tambang bas sekolah dan dapat menghapuskan kegiatan kenderaan haram secara total,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Haron Mohd. Sidik menyeru kerajaan memberikan subsidi minyak petrol dan diesel RM1 eliter kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah seluruh Malaysia.
“Jika berlaku sebarang bencana dan sekolah ditutup, hanya kerajaan sahaja yang perlu membayar tambang bas sekolah untuk memastikan kelangsungan kehidupan pengusaha bas sekolah Malaysia selamat dan terjamin.
“Ia sekali gus dapat menghapuskan 100 peratus kegiatan kenderaan haram.Jika pengusaha dapat meniaga secara aman tanpa diganggu oleh kenderaan haram, pendapatan pengusaha bertambah dan mutu perkhidmatan berada di landasan yang betul dan mantap,” ujarnya.
UtusanOnline-