PETALING JAYA: Perkhidmatan e-hailing ketika ini didakwa menaikkan kadar tambang melampau yang semakin tinggi dan membebankan pengguna ketika ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Aktivis Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamaruddin Hussain berkata, peningkatan tambang operasi industri e-hailing sepatutnya dipantau oleh kerajaan bagi mengelakkan perkara itu terus berlarutan.
Dakwanya, ini berikutan kadar tambang e-hailing tidak dikawal dan diserahkan sepenuhnya kepada industri itu berbanding kadar tambang teksi.
“Hasil pemantauan di media massa mendapati hampir setiap hari akan ada sahaja rungutan daripada penumpang dan adakalanya dari pemandu e-hailing juga tidak berpuas hati dengan kadar tambang yang terlalu rendah.
“Sebagai contoh ada pengguna mendakwa tambang selalunya dalam kadar RM 14 atau RM15, sambutan raya meningkat RM27 dan kini meningkat lagi pada RM32. Pengguna juga ada yang mengeluh kadar tambang kebanyakan berada di paras lebih RM30 sedangkan masa perjalanan itu cuma 20 minit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kekecewaan pengguna e-hailing di laman media sosial terhadap perkhidmatan tersebut yang dilihat menawarkan harga perkhidmatan agak tinggi berbanding sebelum ini.
Sehubungan itu, PPDM menggesa kerajaan membangunkan aplikasi e-hailing yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan yang menawarkan harga yang dikawal sepenuhnya seperti tambang teksi sebagai satu pilihan kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, kebanyakan pemandu teksi sudah lama dapat melihat agenda tersembunyi pihak-pihak syarikat kapatilis e-hailing, tetapi malangnya pandangan mereka dimanipulasikan sebagai menolak kemajuan teknologi dan tidak mahu berubah.
Beliau mendakwa, syarikat-syarikat berkenaan sebenarnya mempunyai agenda untuk menghapuskan perkhidmatan teksi dan memonopoli industri teksi negara.
“Tambang teksi adalah satu kadar tambang yang ditentukan oleh kerajaan hasil daripada penilaian segala kos yang terpaksa ditanggung oleh pemandu dan kadar yang tidak membebankan penumpang, manakala kadar tambang e-hailing pula tidak dikawal, dan diserah bulat-bulat kepada syarikat-syarikat kapitalis untuk menentukannya.
“Kesudahannya, syarikat-syarikat kapitalis ini bukan sahaja memanipulasikan kadar tambang, malah mereka menggunakan segala dana yang mereka yang ada untuk menjerat penumpang dengan membuang harga supaya teksi dinampakkan terlalu mahal,” jelasnya.
Sementara itu, Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-Hailing Malaysia menyifatkan peningkatan kadar tambang perkhidmatan e-hailing ketika ini dilihat berpatutan dan adil kepada semua pihak sekali gus memberi ruang buat pemandu untuk bernafas semula selepas terkesan dengan pandemik sebelum ini.
Pengerusinya, Jose Rizal berkata, peningkatan kadar tambang itu perlu dilihat menyeluruh dari semua aspek terutamanya waktu puncak, dan bukannya semata-mata kembali menekan pemandu yang sudah lama terkesan.
Katanya, kadar tambang perkhidmatan e-hailing adalah dinamik berikutan kadarnya yang tidak menentu terutamanya apabila kekurangan pemandu melebihi permintaan pengguna.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan syarikat operator aplikasi masih mematuhi dasar dan peraturan yang ditetapkan iaitu tidak boleh menaikkan kadar dua kali ganda dari harga yang diluluskan semasa memohon Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP).
“Perubahan peningkatan mula berlaku susulan peralihan fasa ke endemik, pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan musim perayaan berkemungkinan dilihat membebankan pengguna.
“Memang ada rungutan agak mahal, tetapi kena juga fikirkan bahawa pemandu juga perlu mengambil masa 40 minit sehingga 45 minit untuk sampai ke destinasi terutamanya pada waktu puncak.
“Pemandu juga baru boleh bernafas semula selepas terkesan berpanjangan sebelum ini dan walaupun ada kadar tambang yang dilihat meningkat dua kali ganda, ia jelas tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Justeru, Jose Rizal menyarankan pengguna untuk tidak terlalu bergantung kepada satu aplikasi sahaja bagi membolehkan mereka mempunyai banyak pilihan berkaitan dengan kadar tambang yang ditawarkan bagi mendapatkan perkhidmatan e-hailing.
“Semasa pandemik, banyak pemandu mengeluh akibat harga yang ditawarkan murah, tetapi apabila baru satu dua minggu (kadar naik), pengguna terus mengeluh.
“Sebahagian pengguna kena lebih bijak dan terbuka supaya jangan bergantung kepada satu-satu perkara pada masa yang tertentu,” jelasnya.
UtusanOnline-