PUTRAJAYA: Kerajaan memandang berat aduan serta dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah loji sembelihan di Australia yang mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke negara ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, bagi melindungi kepentingan awam serta memberikan keadilan kepada semua pihak, siasatan secara menyeluruh dilaksanakan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) termasuk pihak berkuasa Australia.
Pada masa sama, beliau telah meminta Jakim serta agensi berkaitan untuk membuat siasatan menyeluruh dengan segera dan telus.
“Saya ingin menegaskan bahawa isu halal dan haram melibatkan pemakanan yang menjadi darah daging umat Islam adalah perkara yang sangat dititik berat dalam agama.
“Jabatan ini sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan kepada standard dan prosedur yang ditentukan Jakim dan JPV. Selaku badan pensijilan halal, Jakim akan sentiasa menjaga amanah serta kepentingan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jakim dan JPV memutuskan untuk menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal berkuat kuasa serta-merta sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.
Ia selepas kedua-dua pihak bersidang bersama Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia semalam dan bersetuju membuat keputusan berkenaan.
Selain itu, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberi surat tunjuk sebab dan berhadapan dengan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
Utusan Malaysia semalam melaporkan gesaan tokoh-tokoh agama untuk menggantung sementara pengimportan daging di rumah sembelihan TFI itu sementara menunggu siasatan menyeluruh dilaksanakan.
Ia susulan pendedahan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu berhubung status halal rumah penyembelihan haiwan itu yang diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.
Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas pekerja yang juga penyembelih di syarikat rumah sembelihan itu yang tampil mengakui segala dakwaan yang didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video yang dikongsi adalah benar.
Bagaimanapun, dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia, Rabu lalu, TFI menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan ditujukan terhadap syarikat rumah sembelihan di Lobethal, Australia itu
UtusanOnline-