PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak memberi perlindungan kepada pelarian etnik Rohingya jika tidak mahu berdepan hukuman tegas.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, jika didapati bersalah, individu berkenaan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan penjara tidak melebihi tempoh satu hingga lima tahun.
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 56 Akta Imigresen.
“Saya ingin jelaskan bahawa pelarian Rohingya yang mendarat secara haram di perairan negara ini tidak akan dibebaskan.
“Malah, mereka akan ditahan di depot-depot imigresen kerana status mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, setakat ini, jumlah tahanan Rohingya yang ditahan di depot imigresen seluruh negara adalah seramai 2,200 orang sejak 2019.
Ditanya mengenai kedudukan tahanan Rohingya itu di negara ini, Khairul Dzaimee berkata, beliau difahamkan, Kementerian Luar kini sedang berunding dengan negara-negara ketiga bagi penempatan etnik itu.
“Saya tidak boleh memberi komen lanjut mengenai perkara ini kerana ia membabitkan dasar negara,” katanya.
Jelasnya lagi, setakat hari ini, seramai 60 lagi tahanan Rohingya yang lari dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 20 April lalu masih gagal dikesan.
“Usaha untuk mengesan mereka ni masih dilakukan dan kami syak mereka kini bersembunyi dalam komuniti mereka sama ada di sekitar Pulau Pinang dan Selayang, Kuala Lumpur,” katanya.
UtusanOnline-