LUMUT : Cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk ke negara ini melalui perairan selatan Johor gagal apabila mereka dikesan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) sebelum ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), malam tadi.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
TLDM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan lapan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan pada jam 9.45 malam.
Ia susulan SWASLA mengesan sebuah bot berkelajuan tinggi bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
“Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM Kapal Diraja (KD) Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut. KD Ganyang seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, menyedari kehadiran bot TLDM, bot membawa PATI berkenaan cuba lolos, namun kecekapan dan tindak balas pantas FCB 1123 dan RHIB LEPAU berjaya mengagalkan cubaan itu dan menahan semua warga Indonesia berkenaan di 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.
“PATI yang ditahan kemudian dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op MERPATI untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19. Mereka seterusnya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
TLDM berkata, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terbabit memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan, baik di laut mahupun di darat.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada setiap masa,” katanya.
-Berita Harian