KUALA TERENGGANU: Sebanyak 41 kes kematian penyu direkodkan di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, punca kematian reptilia marin terancam itu adalah akibat penggunaan pukat tunda di samping aktiviti pelancongan dan lain-lain lagi.
Sehubungan itu, katanya, pindaan Enakmen Penyu 1951 yang berkuatkuasa 1 Jun lalu diharap dapat mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap kelestarian penyu.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM640,000 pada tahun ini bagi pengurusan dan pembangunan penyu termasuk upah pekerja, belian telur daripada pemajak di samping menaiktaraf pusat konservasi.
“Malah kerajaan Persekutuan turut menyalurkan sejumlah RM210,000 kepada Jabatan Perikanan bagi meningkatkan kemudahan di pusat-pusat penetasan telur penyu di seluruh Terengganu,” katanya dalam Program Kesedaran Cakna Penyu di galeri jambatan angkat di sini, semalam.
Menurut Azman, sehingga Mei lalu, sebanyak 130,455 biji telur penyu agar dan karah ditemukan di 2,007 sarang.
Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) antara lain melarang penjualan dan pemilikan telur semua spesies penyu dan tuntung dengan kadar denda antara RM50,000 sehingga RM250,000 atau hukuman penjara bagi setiap kesalahan terbabit.
UtusanOnline-