KUALA LUMPUR – Seramai 45 individu masih terkandas di Myanmar selepas menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Penolong Pengarah (D3) Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 17 hingga 41 tahun.
“Setakat ini, seramai tiga lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 40 tahun selamat kembali ke Malaysia pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.
Fadil berkata, terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan mangsa terpedaya untuk bekerja di luar negara antaranya gaji lumayan dan kemudahan yang ditawarkan kepada mangsa.
“Selain itu, mangsa mencari kerja yang mudah, namun ingin menerima ganjaran lumayan,” katanya.
Tambah Fadil, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terbabit dan polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi membantu semua mangsa terlibat.
“Kami juga akan bekerjasama dengan pihak kementerian luar negeri bagi membantu mempercepatkan proses penyelamatan mangsa di luar negara,” katanya.
Fadil turut menasihati orang ramai supaya menyemak dengan teliti dari pelbagai sudut sebelum menerima tawaran pekerjaan di luar negara.
SinarHarian-