KUCHING: Lima bahagian di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit kaki dan mulut (FMD), hari ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, berkata ia membabitkan Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Miri dan Limbang.
Katanya, pengisytiharan itu dibuat kerana lima bahagian terbabit bersempadan dengan Kalimantan Barat dan Kalimantan Utara, lokasi wabak itu dikesan aktif kalangan haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
“Pengisytiharan ini dibuat supaya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak boleh mengenakan dan mengambil semua langkah kawalan perlu untuk mencegah pengenalan FMD ke Sarawak.
“Langkah kawalan yang dijalankan termasuk larangan import ternakan dan ternakan produk dari Indonesia, pemantauan dan pengawasan ternakan di kawasan berisiko tinggi dan menjalankan pemeriksaan veterinar yang ketat di pintu masuk ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Rundi berkata, FMD adalah jangkitan virus akut yang menular dalam kalangan haiwan domestik dan haiwan liar berkuku belah termasuk lembu, kerbau, rusa, kambing, biri-biri, babi dan babi hutan.
Katanya, penyakit itu merebak dari haiwan ke haiwan melalui lelehan hidung dan dari makanan tercemar dan peralatan tempat tidur.
“Bagaimanapun, FMD bukanlah penyakit zoonosis dan ia bukan penyakit yang boleh mencetuskan kebimbangan kesihatan awam, kerana ia berbeza dengan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang menjejaskan kanak-kanak,” katanya.
Sarawak diiktiraf sebagai zon bebas FMD tanpa vaksinasi oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia sejak Mei 2004.
“Status ini penting untuk perdagangan ternakan dan produk ternakan antarabangsa.
“Justeru, segala usaha perlu dilakukan untuk mencegah penyakit ini memasuki Sarawak,” katanya.
BHonline-