Pelabuhan Klang : Air Sungai Chandong di Pulau Indah dekat sini, bertukar warna seakan merah disyaki tercemar angkara kegiatan tidak bertanggungjawab.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pencemaran berkenaan berlaku di hilir kolam tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Jalan Sungai Pinang.
Katanya, tinjauan turut dilakukan di jeti nelayan dan mendapati air masih berwarna merah dan ujian asid menunjukkan bacaan tahap alkali pada pH 6.44.
“Siasatan diteruskan di Jalan Pinang 5/5 dan mendapati kesan aliran cecair merah dalam longkang monsun yang disyaki lokasi tempat pembuangan cecair merah. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini mungkin dilakukan pada waktu malam.
“JAS membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan PDRM mengesan pihak yang bertanggungjawab,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Beliau berkata, Ops Gempur sudah dijalankan semalam, di beberapa premis yang dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.
Sementara itu, beberapa gambar yang menunjukkan air sungai berkenaan bertukar merah tular di media sosial yang turut mendapat pelbagai reaksi warga maya.
Rata-rata komen meminta agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden berkenaan.
-Harian Metro