BOSTON, Massachusetts – Bangkai lipas dan debu Bulan yang diekstrak dari badan roket Apollo 11 adalah antara item unik yang bakal dilelong dalam satu acara lelongan pada harga dijangka mencecah AS$400,000 (RM1.7 juta), lapor akhbar Metro UK.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurut firma lelongan dari Amerika Syarikat, RR Auction, kesemua item itu adalah sebahagian daripada koleksi barangan unik yang dipamerkan pada acara lelongan yang berlangsung di Boston bermula 26 Mei hingga 23 Jun ini.
Debu Bulan tersebut dilaporkan dibawa pulang ke Bumi pada 1969 oleh angkasawan misi Apollo 11.
Ia dikumpul menerusi kajian biologi yang dijalankan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bagi mencari ‘pepijat bulan’ yang berbahaya.
Naib Presiden Eksekutif RR Auction, Bobby Livingston berkata, antara yang paling menarik perhatian pada acara lelongan tersebut adalah sebahagian daripada item dari eksperimen saintifik Apollo 11, di mana saintis memberi makan lipas-lipas itu makanan berupa debu dari Bulan.
“Ia adalah bahan dari Bulan yang telah dimakan oleh lipas-lipas itu ketika eksperimen dijalankan. Ia adalah sisa-sisa yang tinggal,” katanya.
Dalam misi manusia pertama di Bulan, kru Apollo 11 menjalani kuarantin selama 21 hari selepas kembali ke Bumi bagi memastikan mereka tidak membawa pulang sebarang pepijat atau makhluk perosak yang boleh mengancam Bumi.
Justeru, mereka menjalani beberapa ujian perubatan termasuk ke atas haiwan-haiwan yang dibawa seperti tikus, ikan dan lipas. Haiwan-haiwan itu turut didedahkan kepada batuan dan debu Bulan bagi melihat tindak balas yang berlaku.
-Kosmo Online