RAIPUR : Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki cacat pendengaran dan bisu yang terperangkap dalam perigi sempit sejak empat hari lalu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Rahul Sahu jatuh ke dalam perigi sedalam 24.38 meter pada Jumaat lalu ketika bermain di halaman belakang rumahnya di daerah Janjgir Champa, Chhattisgarh, tengah India.
Lebih 500 anggota kecemasan termasuk dari Pasukan Tindakan Bencana Nasional (NDRF), tentera, polis, pegawai pentadbiran terlibat dalam operasi menyelamat besar-besaran yang dijalankan sejak Jumaat lalu.
Rahul diselamatkan kira-kira 11 malam semalam sekali gus menamatkan operasi menyelamat selama lebih 100 jam.
Ketua Menteri Chhattisgarh, Bhupesh Baghel menerusi ciapan di Twitter mengesahkan Rahul sudah diselamatkan.
“Rahul berjaya diselamatkan dengan selamat atas doa semua orang dan usaha gigih dari pasukan penyelamat,” katanya.
Pegawai daerah, Jeetendra Shukla yang berada di lokasi kejadian berkata, budak lelaki itu masih hidup dan dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
-Utusan Online