BEIJING – Hasrat China yang mahu menggunakan kereta api berkelajuan tinggi bagi membawa peluru berpandu nuklear yang memuatkan seribu kepala peledak dilihat boleh memusnahkan beratus-ratus bandar di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Di bawah rancangan yang sedang dibangunkan itu, kereta api digelar kenderaan ‘hari kiamat’ tersebut akan menggunakan landasan berkelajuan tinggi sejauh 37,014 kilometer (km) untuk melancarkan misil nuklear di seluruh negara pada kelajuan 354 km sejam sekiranya berlaku peperangan.
Pelan bagi membangunkan cara untuk menyembunyikan peluru berpandu nuklear dan konvensional adalah sesuatu yang telah lama menjadi cita-cita China.
Ia termasuk menggunakan kereta api nuklear berkelajuan tinggi, sesuai dengan strategi yang merangkumi penggunaan peluru berpandu yang tersembunyi di dalam bekas.
Situasi itu memberi peluang kepada peluru berpandu nuklear untuk ‘menyamar’ sebagai kereta api penumpang.
Menurut pakar ketenteraan China, Rick Fisher, pelan itu akan menimbulkan ancaman besar kepada Barat.
“Tidak dapat dibayangkan bagaimana sistem rel China boleh menyokong 1,000 kepala peledak tambahan yang mampu mencapai sasaran hingga ke Eropah dan AS.
“Membina dan menggunakan 100 rel baharu sebagai tapak pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) tidak akan membebankan belanjawan ketenteraan China,” jelas Fisher.
Sebuah pasukan penyelidik sedang membangunkan projek tersebut yang diketuai oleh Profesor Madya Kejuruteraan Awam dari Universiti Jiaotong Barat Daya, Yin Zihong.
-Kosmo Online