MACHANG – Perasaan cemburu mungkin menjadi punca seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak dengan sepucuk pistol semasa berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Teresek, Repek dekat Pasir Mas petang semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mencari punca sebenar mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, mati ditembak pada bahagian perut kirinya dalam kejadian itu.
Menurutnya, siasatan mendapati, ibu kepada tiga cahaya mata itu dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol jenis semi auto .380 berdasarkan penemuan kelongsong peluru di dalam kereta jenis Nissan Cefiro yang dipandunya.
“Mangsa yang juga peniaga kedai runcit dipercayai sedang dalam perjalanan untuk mengurut di Kampung Teresek. Mayat mangsa ditemui di dalam berkenaan kira-kira 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Lata, Pasir Mas.
“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti sama ada mangsa ditembak di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi kejadian atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang antara Superintendan Mohd. Rusli Mat kepada Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, polis sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa yang dijalankan di Hospital Pasir Mas hari ini.
Katanya, sehubungan itu, bekas suami Farrah Emirah yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai buruh kampung telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut.
-KOSMO! ONLINE