COLOMBO: Ekonomi Sri Lanka yang dihimpit bebanan hutang ‘tumbang’ selepas beberapa bulan berdepan kekurangan makanan, bahan api dan elektrik, kata Perdana Menterinya kepada Ahli Parlimen semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Nikkei melaporkan, kenyataan Ranil Wickremesinghe itu bagi menegaskan keadaan negara itu yang semakin parah ketika kerajaan terpaksa meminta bantuan daripada pemberi pinjaman antarabangsa.
Beliau memberitahu Parlimen, negara Asia Selatan itu berdepan ‘situasi yang jauh lebih serius’ berbanding pelbagai kemelut dihadapi ketika ini dan turut memberi amaran ‘kemungkinan berdepan kejatuhan paling teruk’.
“Ekonomi negara kita telah tumbang sepenuhnya,” katanya.
Krisis di pulau yang dihuni lebih 22 juta penduduk itu dianggap terburuk dalam sejarah, bagaimanapun Wickremesinghe tidak memaklumkan sebarang perkembangan terbaru mengenainya.
Komen beliau dilihat ditujukan khusus kepada pengkritik dan Ahli Parlimen pembangkang mengenai tugas sukar yang sedang dikendalikan dan menegaskan, ia tidak boleh diselesaikan dalam kadar segera.
“Dia menetapkan jangkaan yang sangat, sangat rendah,” kata Felo Dasar dan Ahli Ekonomi di Pusat Pembangunan Global di Washington, Anit Mukherjee.
Menurut Mukherjee, kenyataan dikeluarkan Wickremesinghe itu juga bertujuan menyampaikan mesej kepada bakal pemberi pinjamannya.
“Anda tidak boleh membiarkan negara yang mempunyai kepentingan strategik sedemikian runtuh,” kata Mukherjee, yang turut memberitahu, Sri Lanka terletak di salah satu laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
Ahli Parlimen daripada dua parti pembangkang utama di negara itu memboikot Parlimen minggu ini sebagai bantahan kepada pelantikan Wickremesinghe yang dilantik menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lebih sebulan lalu.
Mereka mendakwa, pemimpin itu gagal menunaikan janjinya untuk memulihkan ekonomi.
Pada 14 Jun lalu, Sri Lanka meluluskan sistem bekerja empat hari seminggu untuk kakitangan awam bagi membolehkan mereka menanam sayuran untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan.
Langkah itu dijangka dapat mengurangkan masalah keperluan bahan api yang kronik selain menggalakkan rakyat menanam sayuran untuk kegunaan keluarga.
BHonline-