Kuala Lumpur: GSC Cinemas mengumumkan filem Mat Kilau mencatat RM12.2 juta pada hari keempat tayangan, semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Filem itu sekali gus mengatasi kutipan filem Jurassic World dan Top Gun Maverick yang turut ditayangkan di Malaysia ketika ini.
Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof menganggap kutipan yang dicapai setakat ini adalah luar biasa.
“Melihat kepada senario untuk filem Mat Kilau, kebanyakan ulasan daripada masyarakat yang belum dan sudah menonton mereka memberikan komen dan maklum balas yang sangat positif. Saya sangat bersyukur sebagai penulis filem ini juga kerana mereka menerima baik naskhah epik yang mengangkat tokoh Melayu kita iaitu Allahyarham Mat Kilau.
“Jadi ini satu usaha bersama bukan saja saya sebagai pengarah, pelakon, pasukan dan penerbit, tapi juga disokong kuat oleh penonton Malaysia sendiri. Jadi kita sama-sama harus berbangga dengan kejayaan ini dengan kutipan pada saya luar biasa.
“Jadi kalau mengikut komen dan buah mulut orang, insya-Allah kutipan filem ini akan terus bertambah,” katanya kepada Harian Metro.
Tidak hanya dalam kalangan peminat, filem Mat Kilau turut mendapat pujian penggiat filem tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki.
Filem terbitan Studio Kembara itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan As’ari dan ramai lagi.
HarianMetro-