JAKARTA – Kementerian Pertahanan Indonesia memulakan program vaksinasi pertama bagi mencegah penyakit mulut dan kaki (FMD) dalam kalangan lembu ternakan di daerah Sukoharjo dalam wilayah Jawa Tengah, lapor laman berita Merdeka semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
“Hari ini, kita berada di Sukoharjo untuk memulakan vaksinasi bagi mencegah FMD. Selain vaksinasi, program ini diharapkan dapat mengawal pergerakan haiwan ternakan,” kata Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo.
Menurut Syahrul, pada peringkat pertama, sebanyak 800,000 vaksin FMD yang sudah disediakan sejak beberapa hari lalu akan diuji di lapangan. Pihaknya juga telah menyediakan tiga juta vaksin FMD pada giliran yang sudah ditetapkan.
“Setiap wilayah dan daerah akan bekerjasama dengan universiti sedia ada. Jadi, kita akan melibatkan pelajar, Tentera Nasional Indonesia dan Polis Republik Indonesia,” katanya.
Sementera itu bagi daerah Sukoharjo sahaja, Syahrul berharap agar semua lembu akan disuntik dalam beberapa minggu ini.
“Selepas disuntik, semua haiwan yang telah divaksinasi akan mempunyai data digital yang memaparkan maklumat seperti penjagaan dan perlindungan.
“Pada aplikasi tersebut, lembu-lembu yang disuntik akan mendapat sijil,” jelas beliau.
Ketua Jabatan Pertanian dan Perikanan daerah Sukoharjo, Bagas Windaryanto berkata, setakat 16 Jun lalu, terdapat 511 ekor lembu ternak di daerah tersebut dijangkiti FMD.
“Daripada jumlah tersebut, 67 ekor pulih, empat mati dan dua disembelih secara paksa,” ujarnya
-Kosmo Online