REMBAU : Ibu bapa diminta tidak terlalu risau atau panik dengan penularan jangkitan Influenza Like-Illness (ILI) susulan beberapa kluster dikesan membabitkan pelajar di sekolah berasrama.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kluster influenza berkenaan adalah situasi normal bagi penyakit berjangkit yang wujud dari semasa ke semasa dan bermusim.
“Terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah asrama dan ia dalam perhatian Kementerian Kesiahatan (KKM).
“Kluster influenza ini adalah perkara biasa yang akan timbul dari semasa ke semasa dan buat masa ini dalam kes kluster terbabit semuanya terkawal dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan,” katanya pada sidang media hari ini.
Khairy terdahulu hadir ke Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.
Beliau berkata, kes penyakit berjangkit akan bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka mula dilonggarkan.
“Kes infuenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila kita dah tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita mula mengurangkan langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal, tak perlu pakai pelitup muka ketika berada di luar dan sebagainya.
“Ini sudah pasti akan meningkatkan (kes) penyakit berjangkit sebab mungkin selama dua tahun lepas penyakit berjangkit influenza menurun sebab itu kita sama ada terpaksa duduk di rumah atau mengambil langkah kesihatan awam tertentu yang kita ikuti.
“Jadi memang kalau lihat dari segi influenza serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ia akan meningkat,” katanya.
Khairy berkata, pihaknya menyerahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk membuat penilaian mengenai kluster yang wujud di sekolah berasrama dan sekiranya mencapai tahap merisaukan maka langkah yang sepatutnya akan dilaksanakan.
“Saya harap ibu bapa tidak terlalu risau lebih-lebih lagi kes ini kes yang terkawal dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan,” katanya.
-Berita Harian