PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) memutuskan untuk melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang bagi pemasangan tempatan dan import sehingga 31 Mac tahun depan.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, insentif pengecualian cukai jualan itu sepatutnya tamat pada 30 Jun ini.
Beliau berkata, lanjutan tempoh insentif itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara.
“Dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala. Bagaimanapun, terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.
“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Berikutan permasalahan ini, katanya, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan dan 50 peratus ke atas kenderaan penumpang import sejak 15 Jun 2020.
Insentif itu diperkenalkan bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Kosmo-