PETALING JAYA : Tiga kes gangguan seksual melibatkan tiga orang berlainan yang dilaporkan terhadap seorang jurulatih wusyu baru-baru ini turut mendapat perhatian Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt untuk bersuara mengenai keadaan semasa yang berlaku.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Tegasnya, perbincangan mengenai masalah itu telah pun dilakukan dengan negeri-negeri berkaitan iaitu Persatuan Wusyu Kuala Lumpur dan Persatuan Wusyu Selangor kerana jurulatih yang didakwa itu mengajar di bawah kelolaan kedua-duanya.
Kim Fatt berkata, kuasa untuk menguruskan jurulatih hanya tertakluk kepada persatuan negeri dan kedua-dua persatuan wusyu itu akan mengeluarkan surat arahan kepada jurulatih berkenaan untuk memberhentikan semua aktiviti mengajarnya buat masa ini sehingga kes selesai dibicarakan.
“Untuk Persekutuan Wusyu Malaysia, kita akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak berkaitan mengenai isu ini kerana tugas kami hanya mendaftarkan 16 negeri dan kita jaga keperluan mereka tetapi jurulatih masih di bawah penyeliaan persatuan wusyu negeri.
“Sebab itulah, pihak persatuan wusyu negeri yang akan mengambil tindakan seterusnya dengan mengeluarkan surat kepada jurulatih itu bahawa dia diarahkan berhenti semua kelas wusyu sampai perbicaraan di mahkamah mendapat keputusan akhir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, Persekutuan Wusyu Malaysia juga akan mengadakan pertemuan secepat mungkin termasuk dengan beberapa pihak berkaitan sebagai usaha membendung perkara ini berulang kembali.
“Di pihak persekutuan sendiri, kita akan buat mesyuarat bagi merangka satu Jawatankuasa Jurulatih yang akan mengendalikan proses pendaftaran, pelajaran serta latihan jangka masa panjang untuk jurulatih-jurulatih kami.
“Dalam masa sama, kita juga akan bekerjasama dengan MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi memastikan sukan wusyu boleh terus berkembang dengan berkualiti,” katanya.
Pada 4 Jun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji memaklumkan bahawa pihaknya menerima satu lagi laporan berkaitan kanak-kanak didakwa mangsa cabul melibatkan jurulatih wusyu.
Sebelum ini, jurulatih berusia 31 tahun itu telah didakwa selepas disiasat dipercayai melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah akademi wusyu di Cheras, Kuala Lumpur pada 25 Mei lalu.
-Utusan Online