PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang senarai kedudukan sekolah terbaik sebagai pengukur prestasi antara sekolah.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia sebaliknya adalah inisiatif pihak luar yang menyenaraikan sekolah terbaik selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang berlaku baru-baru ini.
Katanya, jika ia dibuat pihak luar, ia adalah di luar bidang kuasa kementerian itu.
“Boleh disemak tahun-tahun sebelum ini pun memang tidak ada sebarang ‘ranking’ dikeluarkan oleh KPM.
“Kami tidak dapat halang pihak lain di luar sana berusaha keras untuk dapatkan maklumat kumpul sebarang ‘ranking’, tetapi bagi pihak KPM tidak pernah keluarkan sebarang ‘ranking’ keputusan SPM,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan penerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-15 di kementeriannya, petang ini.
Justeru, Radzi berkata, beliau berharap semua pihak semak fakta-fakta yang ada sebelum membuat sebarang ulasan.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM tidak bercadang mengkaji keperluan memansuhkan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM.
Beliau berkata, apa yang penting adalah untuk pihaknya mengkaji faktor yang menyumbang kepada keputusan sedemikian selain mencari pendekatan intervensi yang bersesuaian.
“Ia bagi memastikan anak-anak kita yang lahir daripada sistem pendidikan kita ini dapat menguasai subjek Sejarah (supaya) pada masa akan datang jumlah murid gagal dapat dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Sementara itu, Radzi berkata, kementeriannya sudah diarahkan melihat dakwaan berkenaan silibus Matematik Tahun Satu yang dikatakan aras tinggi sehingga membebankan guru dan pelajar.
Beliau berkata, ia bagi melihat sama ada ia rumit atau sesuatu yang boleh menjadi kebiasaan.
“Seperti yang saya sebut sebelum ini, pusingan pertama Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan tamat tahun ini jadi kita akan semak kembali silibus yang ada,” katanya.
-Berita Harian