Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 38 kes buli di sekolah dilaporkan kepada pihak polis dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bermula Januari 2022.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Statistik jenayah buli dalam kalangan pelajar sekolah itu amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran yang salah tentang sekolah sebagai institusi mendidik anak bangsa.
Lebih membimbangkan apabila penulis difahamkan kes buli dalam kalangan pelajar sekolah dipercayai jauh lebih banyak daripada itu.
Kes bagaimanapun tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana pengurusan sekolah berjaya memujuk pihak terlibat termasuk ibu bapa supaya tidak memanjangkan insiden.
Dan terdapat juga kes dimana pihak sekolah menyembunyikan kejadian buli dengan melaporkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ia cuma perselisihan kecil antara pelajar.
Paling merungsingkan apabila terdapat pengurusan sekolah dipercayai memberi tekanan kepada pelajar yang menjadi mangsa supaya tidak memanjangkan insiden buli dengan menyalahkan mereka sebagai punca pergaduhan atau menuduh mereka berbohong telah dipukul.
Keadaan ini disebabkan pihak pengurusan mahu menjaga reputasi sekolah walaupun terpaksa melindungi pelaku buli kerana kes buli boleh menjejaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.
Pendirian seperti ini yang sebenarnya merosakkan institusi pendidikan kita selama ini demi menjaga kedudukan dan potensi anggota pengurusan sekolah.
Pendekatan menutup kejadian buli oleh pengurusan sekolah tidak menyelesaikan masalah sebaliknya ia suatu pembohongan yang nyata yang lambat laun akan menyumbang kepada permasalahan sosial negara.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli selalunya akan menderita dari segi emosi dan sosial. Mereka mungkin berasa marah, pahit, terdedah, tidak berdaya, kecewa, kesunyian, dan terasing sekali gus menjejaskan pembelajaran dan pembesaran mereka.
Malah pada satu tahap yang lebih serius pelajar terlibat lama kelamaan mungkin berdepan masalah kemurungan, tetapi pengurusan sekolah yang terlalu menjaga reputasi barangkali tidak ambil peduli fakta ini.
Tekanan turut dialami para guru apabila mereka diarahkan pengurusan sekolah supaya menyelesaikan insiden buli secara sulit sedangkan kejadian buli adalah suatu jenayah berat yang perlu diadili seadil-adilnya.
Sikap pengurusan sekolah seperti itu juga memberi isyarat yang salah terhadap pelaku buli bahawa jenayah buli adalah ok dan akhirnya mereka membesar menjadi insan dengan elemen-elemen yang negatif.
Mungkin sudah tiba masa untuk KPM meneliti semula insiden buli yang semakin memburuk dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan sekolah yang cuba menutup insiden itu kerana ia merupakan suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan masyarakat.
-Mynewshub