IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 1,245 kasut tiruan jenama terkenal bernilai RM87,979 dalam serbuan di sebuah premis di pusat beli belah terkenal di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini, semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan pada pukul 10.30 pagi itu dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang berkaitan penjualan kasut wanita dan kanak-kanak jenama terkenal.
Katanya, ketika serbuan, seorang lelaki iaitu pemilik premis berusia 51 tahun dan seorang pekerja wanita berusia 38 tahun berada di tempat kejadian.
“Pemeriksaan dijalankan bersama pemilik perniagaan dan pengadu di mana kita mendapati terdapat sejumlah kasut wanita dan kanak-kanak
perempuan pelbagai corak, saiz dan warna berjenama terkenal yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar.
“Pengecaman awal pengadu juga mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan itu, pihaknya merampas 1,245 pasang kasut, 800 unit plastik beg menggunakan label bertanda jenama terkenal dan 800 unit pelekat jenama terkenal bersama beberapa dokumen perniagaan.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM87,979 selain menahan pekerja dan pemilik perniagaan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mana-mana orang yang mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya.
-Kosmo Online