SUNGAI BULOH: Seorang lelaki maut, manakala enam murid Darjah Satu Sekolah Kebangsaan Saujana Utama cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Saujana Utama, di sini, hari ini.
Ikuti Mynewshub:Â Telegram
Mangsa, pemandu Proton Exora, lelaki berusia 52 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam murid yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan hanya cedera ringan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata terdahulu, sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jamm 1.08 petang.
“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan Perodua Aruz.
“Kemalangan berlaku apabila Perodua Aruz dinaiki dua wanita yang keluar dari simpang melanggar Proton Exora dipandu seorang lelaki bersama enam murid Darjah Satu yang datang dari sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, akibat rempuhan itu Proton Exora terbalik dan bergolek ke bahu jalan.
“Semua murid dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Pemandu dan penumpang Perodua Aruz tidak cedera namun mengalami kesukaran bernafas.
“Mereka juga turut dihantar ke hospital,” katanya.
BHonline-