KUALA LUMPUR : Pendirian MIC berhubung kemasukan mana-mana parti politik termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) ke dalam Barisan Nasional (BN) akan dikemukakan kepada Dewan Tertinggi gabungan itu.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata pihaknya tidak akan menyatakan pendirian secara terbuka, apatah lagi tanpa sebarang permohonan rasmi, sukar untuk MIC mengulas mengenainya.
Katanya, menjadi amalan BN, setiap keputusan dibuat secara konsensus melalui Dewan Tertinggi BN.
“Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam perhimpunan parti ada menyatakan mengenai minat beberapa parti menyertai BN, tetapi belum ada keputusan rasmi.
“Macam mana saya hendak ulas sedangkan tiada permohonan rasmi, kita kena tunggu dulu, bila ada satu yang jelas lebih mudah untuk kita nyatakan pendirian,” katanya mengulas mengenai minat PBM untuk menyertai BN.
Sebelum ini Presiden PBM, Larry S’ng mengumumkan melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden Pengganti parti itu yang diberi mandat mengetuai delegasi parti mengadakan rundingan dengan parti lain termasuk perbincangan membentuk kerjasama politik.
Vigneswaran berkata, pada masa ini BN tidak mempelawa mana-mana parti menyertainya, sebaliknya mahu memantapkan kerjasama sedia ada antara parti komponen.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir, berkata keputusan berhubung kemasukan mana-mana parti politik sebagai komponen dalam BN hanya diputuskan Dewan Tertingginya.
“Menjadi amalan BN, setiap permohonan dari mana-mana parti secara rasmi atau tidak hanya boleh ditentukan oleh Dewan Tertinggi BN,” katanya.
-Berita Harian