MARANG : Pas bukan parti yang gila kuasa hanya semata-mata kerana menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, golongan gila kuasa adalah mereka yang berterusan mendesak Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15 secara tergesa-gesa.
Tegasnya, penglibatan Pas dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini adalah kerana terpaksa dan bukan kerana menyokong helah parti-parti tertentu untuk berkuasa.
“Biasanya orang yang nak cepat (PRU15) yang gila kuasa manakala yang tangguh ini pula sebaliknya kerana mereka berfikir panjang.
“Saya dan sebutkan sebelum ini, kita fikir tentang rakyat yang menghadapi masalah di samping Covid-19 yang belum diisytiharkan bebas dan hal-hal lain,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan pemimpin Pas khususnya yang memegang jawatan dalam kerajaan campuran hari ini yang menolak untuk PRU15 diadakan awal adalah kerana mereka sudah kemaruk kuasa.
Katanya, itu merupakan satu-satunya punca mengapa pemimpin parti berkenaan bertindak sedemikian.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi memberi peringatan yang Pas sudah biasa berada di bawah dan tidak gentar untuk kehilangan kuasa sebagaimana didakwa.
Malah, katanya, parti itu juga bersedia dan boleh menerima hakikat jika tewas pada PRU15.
“Orang duduk di atas yang biasanya takut jatuh. Kita pernah kalah, selalu kalah dan menang sekali,” katanya.
-Utusan Online