MELAKA: Pas Melaka menyeru seluruh umat Islam di negara ini memboikot barangan dari India sebagai tindak balas terhadap kenyataan dua ahli politik negara itu yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Timbalan Pesuruhjaya Pas II negeri, Imran Abdul Rahman berkata, tindakan itu dianggap wajar memandangkan individu terlibat masih berdegil enggan meminta maaf dan masih berterusan menghina Rasulullah dan Islam.
Menurutnya, tindakan Nupur Sharma dan Naveen Jindal itu tidak dapat diterima oleh umat Islam kerana kenyataan yang dibuat jelas menghina Islam keseluruhannya.
“Kalau setakat kita berhimpun dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mereka ia tidak akan memberi kesan dan sebaiknya seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Melaka, kita bersatu untuk memboikot barangan dari India.
“Kita seharusnya memberi tekanan kepada kerajaan India dan umat Islam sebenarnya tidak lagi boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menghina bukan sahaja Nabi Muhammad tetapi Islam itu sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan aman di pekarangan Masjid Al-Azim, Ayer Keroh di sini hari ini.
Perhimpunan tersebut adalah anjuran Pemuda Pas Melaka bersama wakil daripada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Ummah Melaka, Muhammad Najib Latif berkata, pihaknya turut melahirkan rasa kesal dengan penghinaan yang dilakukan.
“Saya menyokong penuh cadangan daripada Pas Melaka untuk memboikot barangan yang diimport dari India sebagai tindak balas terhadap kontroversi yang dibuat oleh mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Melaka, Muhammad Al Afiz Yahya berkata, tindakan menghina Nabi Muhammad dilihat jelas cuba mencabar kedudukan Islam.
“Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India daripada rak jualannya,” jelasnya.
UtusanOnline-