PORT DICKSON : Pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai kewujudan akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai sesuatu ‘perkara yang amat menyenangkan’ oleh Presiden PKR itu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Anwar berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sekali gus menjawab segala ejekan mahupun yang memperolokkan beliau ketika memberitahu mempunyai jumlah mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.
“Dahulu saya hanya menyebut, saya mempunyai jumlah yang mencukupi dan convincing (meyakinkan) kemudian ramai yang memperolok. Saya tidak keluarkan kenyataan lebih daripada itu kerana ia melibatkan istana.
“Sekarang entah bagaimana mengenai SD ini boleh keluar. Alhamdulillah, ia terbongkar dengan sendirinya, bukan dari saya, ia terbongkar dengan sendirinya. Ada pemimpin (UMNO) beri mesej, berharap usah dipanjangkan, saya jawab bukan saya panjangkan, bukan saya yang bongkar.
“Saya dihina sebegitu rupa, saya tidak jawab kerana bagi saya institusi istana dan raja bukan harus berlegar dalam ruang politik. Apabila dibongkar, tentu nama saya dikaitkan, jadi saya harus berikan penjelasan, (ini) amat menyenangkan,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2021 Port Dickson dan Penyerahan Komputer Riba serta Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan B40, di sini hari ini.
Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, mendedahkan sememangnya wujud SD daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, walaupun pada ketika itu beliau mempunyai jumlah mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri, namun menolak selepas diminta untuk memastikan urusan mahkamah terutama perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak diteruskan.
“Jumlah itu (SD) tidak semuanya dikirim melalui saya, ada yang terus ke istana. Ini termasuk yang disebut 15 orang dari UMNO tetapi PH pada masa itu menyatakan walaupun jumlah itu menjangkau sehingga 120, prinsip kami adalah tidak menerima SD daripada Najib dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Jadi kami masih ada 118, apa yang berlaku selepas ditandatangani dan sebagainya, saya diminta memberikan kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Najib itu tidak akan diteruskan. Saya tidak bersedia untuk lakukan itu, walaupun jumlah itu cukup dan keperluan untuk saya jadi Perdana Menteri itu sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal badan kehakiman.
“Apa yang lebih penting bagi saya, apakah harus kita korbankan prinsip kebebasan badan kehakiman dan sikap pendirian memerangi rasuah semata-mata untuk jadi Perdana Menteri? jawapannya jelas,” kata Anwar lagi.
Beliau kemudian menjelaskan, disebabkan keputusan tegas tersebut, maka UMNO seterusnya mencalonkan nama lain sebagai Perdana Menteri pada saat akhir.
“Orang tanya mengapa tunggu bertahun dan tidak jawab, sebab saya anggap hubungan kita dengan istana itu harus dipertahan supaya ia kekal beradab dalam cara kita memuliakan institusi raja dan juga menghormati prinsip Perlembagaan. Kalau ditakdirkan jadi (Perdana Menteri Alhamdulilah jadi. Kalau tidak pun, kita bersabar dan teruskan perjuangan.
“Tetapi yang nyata bahawa orang yang membuat tohmahan itu telah lakukan kesalahan dan fitnah dan mempermainkan, (saya) diperolokkan di media sosial dan ada yang anggap kami sanggup buat apa sahaja termasuk bekerjasama dan bersekongkol dengan kleptokrat, itu tidak benar,” tegas Anwar.
Anwar juga menjelaskan, pendedahan Tajuddin itu juga menjawab dakwaan kononnya PKR bersedia pada waktu itu untuk bekerjasama dengan kluster mahkamah supaya beliau menjadi Perdana Menteri.
“Itu tohmahan mereka, itu tidak benar, kerana mereka bukan hantar SD kepada saya. Terus kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak melalui saya, tentulah kami ada maklumat tentang SD itu tetapi saya tegaskan pendirian PH iaitu tidak bekerjasama dengan Najib, itu jelas,” katanya.
-Utusan Online