KIEV – Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov mengaku optimis bahawa perang dengan Russia bakal berakhir menjelang hujung tahun ini, lapor akhbar Metro News UK semalam.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Perkara tersebut dibincangkan semasa Reznikov menghadiri forum keselamatan antarabangsa ketika pencerobohan Russia di negara itu genap 100 hari.
“Tentera Russia terus-menerus menggandakan usaha untuk menawan seluruh Ukraine.
“Meskipun sukar untuk meramalkan bilakah perang ini akan tamat, saya positif bahawa ia akan berakhir hujung tahun ini,” ujarnya.
Namun begitu, beliau memberi amaran bahawa negara lain juga berisiko menerima nasib serupa.
“Sasaran seterusnya mungkin Poland, negara Baltik, Slovakia dan lain-lain.
‘Itulah sebabnya kita mesti menghentikan Rusia dan menghalang kuasa Moscow pada masa hadapan,” tegasnya.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendapat kritikan daripada Ukraine berhubung komennya yang menggesa pemimpin negara itu, Volodymyr Zelenskyy supaya tidak memalukan Rusia.
Macron memberitahu akhbar tempatan Perancis bahawa Zelenskyy perlu berhenti membuat provokasi terhadap Rusia supaya peluang untuk mencari jalan penyelesaian diplomatik menjadi lebih cerah.
Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba membalas kenyataan tersebut dengan memuat naik kenyataan di laman Twitter bahawa hanya negara pengecut seperti Perancis akan berkata sesuatu seperti itu.
“Gesaan untuk mengelakkan penghinaan terhadap Rusia hanya akan mengaibkan Peranciis,” kata Kuleba.
Kementerian Dalam Negeri Ukraine pula berkata , jumlah mayat orang awam yang telah digali di rantau Kiev setakat ini sejak pengunduran tentera Rusia berjumlah lebih 1,300.
-Kosmo Online