MIAMI: Pasukan pihak berkuasa tiba di Miami semalam untuk menyiasat bagaimana sebuah pesawat penumpang terbakar ketika mendarat di lapangan terbang antarabangsa di sini sehingga menyebabkan lebih 100 penumpang melarikan diri.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Tiga orang dilaporkan cedera akibat insiden itu yang melibatkan pesawat Red Air, penerbangan 203.
Namun, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan susulan insiden tersebut.
Rakaman video menunjukkan orang ramai diselamatkan dari pesawat berkenaan dengan sebahagian badan kapal terbang itu terbabas di atas landasan.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) memaklumkan, gear pendaratan utama bahagian kiri pesawat itu dilaporkan tercabut ketika mendarat.
Keadaan itu menyebabkan pesawat terbabit tergelincir atas landasan sebelum terbabas ke kawasan rumput dan terbakar di bahagian kanan.
Red Air yang merupakan syarikat tambang murah milik Republik Dominika yang baru dilancarkan pada November tahun lalu menyatakan pesawat itu tiba dari Santo Domingo ketika ia berdepan masalah teknikal.
Pasukan penyiasat turut menemukan perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) pesawat tersebut untuk disiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.
Terdapat 130 pesawat dan 10 anak kapal ketika insiden berlaku.
UtusanOnline-