KUALA LUMPUR : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang serta membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika memaklumkan perkara terbabit berkata pertimbangan itu dibuat berdasarkan sesi perbincangan bersama Perdana Menteri, antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat berkenaan.
“Penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) dijangka boleh digunakan untuk perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat.
“Secara keseluruhan, jumlah kos perlu ditanggung kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600, tidak termasuk kos operasi, jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
-Berita Harian