ALOR SETAR : Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor merasakan tiada keperluan untuknya membuat kenyataan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang Exco kerajaan negeri seperti dilaporkan sebelum ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurut Muhammad Sanusi, cabaran yang dibuat terhadapnya untuk mengulas isu itu oleh Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris tidak signifikan dan pemimpin itu juga disifatkan bersikap agak berlebih-lebihan dalam hal itu.
Katanya, semua pihak sewajarnya membiarkan agensi terlibat untuk melaksanakan kerja mereka.
“Saya tak terima cabaran beliau kerana cabaran itu pun tidak signifikan. Buat apa saya nak bising-bising, biar agensi (SPRM) buat kerja mereka. Kalau Asmirul nak bercakap, biar beliau bercakap, pergilah tanya Asmirul dan saya harap beliau cermat sikitlah,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang di sini hari ini.
Pada 9 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah dengan sumber juga memaklumkan seorang Exco kerajaan negeri dijangka dipanggil bagi memberi keterangan.
Menulis di Facebook mengenai perkara itu, Asmirul menyeru Muhammad Sanusi supaya membuat penegasan menerusi kenyataan akhbar untuk tidak melindungi sebarang salah laku Exco berkenaan serta memberi ruang seluasnya kepada SPRM bagi menyiasat Exco terlibat.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, komen lanjut mengenai perkara itu wajar ditanyakan kepada Asmirul sendiri kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu yang membangkitkan perkara berkenaan.
“Asmirul yang tulis benda itu, jadi pergilah tanya beliau. Saya tak ada jawapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau enggan mengulas mengenai pendedahan Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan perkongsian percaturan pemain oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon kepada baginda dalam setiap perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak kedah (KFA) itu, beliau ‘malas’ untuk bercakap mengenai perkara itu.
“Saya malas cakap awal-awal. ‘Hangpa’ (kamu) dah tahu, sudahlah,” katanya.
Semalam, Tunku Ismail mendedahkan baginda merupakan individu pertama yang akan mengetahui kesebelasan utama negara dalam kempen tersebut dengan Pan Gon dilihat berkongsi senarai pemain dalam tiga aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malah rutin itu sebenarnya sudah dimulakan ketika aksi persahabatan pada Mac lalu di Singapura selain dalam tiga aksi pemanas badan bertemu Brunei, Hong Kong dan Negeri Sembilan FC.
Berikutan perkongsian Tunku Mahkota Johor itu, ada dalam kalangan peminat yang menulis di media sosial menyatakan bahawa apa yang diperkatakan Muhammad Sanusi mengenai campur tangan individu tertentu sebelum ini adalah sesuatu yang berasas.
-Utusan Online