STOCKHOLM, SWEDEN – Simpanan senjata nuklear dunia dijangka bertambah buat kali pertama sejak akhir Perang Dingin berikutan peningkatan ketegangan disebabkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menerusi buku laporan tahunan 2022 yang dikeluarkan kelmarin menyatakan, peledak nuklear di lapan negara yang mempunyai keupayaan itu dijangka bertambah dalam masa beberapa dekad akan datang.
Lapan negara tersebut ialah Amerika Syarikat (AS), Russia, Britain, Perancis, China, India, Pakistan dan Korea Utara di samping Israel.
“Semua negara yang memiliki senjata nuklear kini meningkatkan atau menaik taraf senjata nuklear masing-masing.
“Negara-negara ini meningkatkan retorik dan peranan senjata nuklear dalam strategi ketenteraan mereka. Ini trend yang membimbangkan,” kata Pengarah Program Senjata Pemusnah Besar-Besaran SIPRI, Wilfred Wan.
AS dan Russia setakat ini mempunyai 90 peratus daripada senjata nuklear dunia. Moscow memiliki 5,977 peledak nuklear, manakala 5,427 lagi dalam simpanan Washington.
China pula terus meningkatkan keupayaan dengan membina lebih 300 fasiliti pelancar senjata nuklear baharu, demikian menurut laporan sama.
Pentagon meramalkan stok nuklear Beijing akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda dalam dekad akan datang.
SIPRI turut menganggarkan Korea Utara memiliki 20 bom nuklear, namun pendirian berahsia Pyongyang menyukarkan usaha untuk mengukur keupayaan nuklearnya yang sebenar.
Firma pemikir itu bagaimanapun percaya bahwa negara komunis tersebut kini mempunyai bahan mencukupi untuk menghasilkan 55 bom nuklear.
“Tiada bukti nyata bahawa Korea Utara telah menghasilkan peledak nuklear berfungsi untuk penghantaran melalui peluru berpandu balistik antara benua.
“Namun, ia mungkin mempunyai sebilangan kecil peledak nuklear untuk peluru berpandu balistik jarak sederhana,” kata SIPRI.
Pada 2021, lima anggota kekal Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS, Russia, China, Britain dan Perancis menyatakan pendirian bahawa perang nuklear tidak boleh dimenangi dan tidak seharusnya berlaku.
Bagaimanapun, laporan SIPRI menunjukkan bahawa kelima-lima negara itu terus meningkatkan atau menaik taraf senjata nuklear milik mereka.
Dalam pada itu, meskipun bilangan peledak nuklear global berkurang daripada 13,080 kepada 12,705 antara 2021 hingga tahun ini, bekas Perdana Menteri Sweden yang juga merupakan ahli lembaga pengarah SIPRI, Stefan Lofven memberi amaran bahawa hampir separuh disimpan dalam keadaan bersedia atau berjaga-jaga.
“Hubungan antara kuasa-kuasa besar dunia semakin merosot ketika manusia dan planet ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang hanya boleh diselesaikan oleh kerjasama antarabangsa,” katanya.
-Kosmo Online