JOHOR BAHRU : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan supaya Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menerajui skuad bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan yang dikongsikan dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor, hari ini.
“Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Tunku Ismail terus menerajui dan mengendalikan pasukan JDT bagi memartabatkan sukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Sultan Ibrahim berkenan melantik Tunku Ismail sebagai Pemangku Raja Johor mulai hari ini.
Baginda membuat keputusan tersebut kerana ingin beristirahat, namun tidak menyatakan tempoh perlantikan tersebut.
Kali terakhir Tunku Ismail dilantik sebagai Pemangku Raja adalah pada 11 Ogos 2019.
Pada 9 Jun lalu, Tunku Ismail mengumumkan beliau bakal berundur daripada mengendalikan skuad JDT kerana mempunyai tanggungjawab dan komitmen lain.
Ekoran keputusan tersebut, beliau menyerahkan urusan JDT kepada pihak pengurusan tertinggi kelab tersebut.
-Utusan Online