Kuala Lumpur : Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan dibincangkan secara terbuka seperti amalan terdahulu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Menurutnya, perbincangan secara terbuka mengenai perkara itu dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik.
Sebaliknya, beliau berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah memulihkan ekonomi dan menangani pelbagai isu termasuk kenaikan kos hidup dan bekalan makanan.
“Sebelum ini semua bekas Perdana Menteri tidak akan membincangkan tarikh PRU secara terbuka kerana ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik.
“Macam Tun Dr Mahatihir (Mohamad) ketika menjadi Perdana Menteri dulu hanya akak jawab ‘tunggu dapat ilham’,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Sri Damansara Sentral, di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, tidak timbul juga isu kedudukannya dalam kerajaan goyah meskipun pelbagai desas desus berlegar di media sosial.
Sebelum ini, portal berita melaporkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 8 Jun lalu ada membincangkan kedudukan Perdana Menteri.
Laporan mendakwa kedudukan jawatan nombor satu negara itu mungkin akan berubah jika PPBM mendapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, perkara itu disangkal Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
-Harian Metro