KUANTAN – Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai cuba membunuh diri dengan bertindak terjun dari Jambatan Tanjung Lumpur di sini awal pagi ini.
Ikuti Mynewshub: Facebook,Twitter, TikTok, Telegram, Instagram
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.08 pagi itu bomba yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati wanita dewasa berkenaan telah terjun daripada jambatan.
“Bomba yang mendapati terdapat bot nelayan di kawasan berhampiran telah meminta bantuan nelayan untuk segera menyelamatkan mangsa yang berada di dalam sungai.
“Mangsa seterusnya dibawa ke tebing sungai dan diberikan rawatan awal termasuklah bantuan pernafasan sehingga mangsa berada dalam keadaan stabil,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan operasi tamat pada pukul 5.52 pagi.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.
-Kosmo Online